20
~ Sahabat, bantuanmu di perlukan … ~
Hampir seminggu saya tidak menjenguk ke forum Wang Cyber, rupanya ada Kempen Bantu Sahabat di sana. Ya, walaupun saya kurang mengenali sahabat kita ini Sdr Badruzamani namun pernah juga beberapa kali saling menegur di forum atau pun di PM, beliau seorang yang matang dan berbudi bahasa. Apa yang saya tahu beliau telah terlibat dengan kemalangan jalanraya dan kini telah dikategorikan sebagai OKU. Beliau juga merupakan salah seorang usahawan internet. Untuk pembaca blog ini yang belum atau tidak mengenali beliau, anda boleh baca blog Badruzzamani  Di bawah ini merupakan petikan dari blog beliau :
Tentang Saya
Nama saya adalah Badruzamani Bin Azmi. Dilahirkan pada 26 Mei 1976 di Batas Liku Arau, Perlis. Saya merupakan anak kedua daripada 7 adik beradik. Saya mula menulis blog sejak Jun 2006. Blog ini merupakan blog ketiga saya dan merupakan blog pertama saya yang menggunakan WordPress. Saya mula mengenali HTML sejak tahun 1999 dan mula serius membeli hosting berbayar pada Ogos 2006 apabila laman web saya di hosting percuma mengalami pelbagai masalah teknikal.
Pada tahun 1995, saya terlibat dalam kecelakaan jalan raya. Ketika itu, saya sedang menuntut dalam jurusan Sijil Elektrik Kuasa di Politeknik Sultan Abdul Halim Mua’adzam Syah(POLIMAS), Jitra. Sebelum kecelakaan itu, saya dalam perjalanan pulang dari melawat bekas guru saya di Sekolah Menengah Vokasional Arau pada pagi 30 April 1995.
Akibat kecelakaan itu, saya mengalami patah tulang belakang dan disahkan oleh doktor, lumpuh kekal dari paras pinggang ke bawah. Tulang bahu kanan saya pernah patah. Hampir 2 tahun, saya berada di Hospital Pulau Pinang sebelum saya mampu menulis semula. Kini kecederaan saya di bahu sudah sembuh sepenuhnya.
Justeru Kempen Bantu Sahabat seperti inilah yang patut kita sokong demi membantu meringankan beban rakan kita yang benar-benar memerlukan bantuan. Oleh itu kepada sesiapa yang ingin mengulurkan sumbangan ikhlas tidak kiralah dalam bentuk wang tunai atau cek atau apa juga cara yang dapat mengurangkan beban beliau, sila salurkan sumbangan anda ke akaun Maybank Al - Wadiah bernombor : 162021342824. Semoga sumbangan ikhlas anda akan di bayar berganda-ganda oleh Allah swt.






























Add A Comment